} -->

Friday, June 28, 2019

Damai yang hilang

Suasana petang ini mendamaikan dan cuaca terlihat baik-baik sahaja. Tidak ada tanda-tanda hujan mahu turun. Waktu terbaik untuk aku keluar dari bilik dan merehatkan mindaku yang serabut. Aku pandang langit. Cantik sekali. Teringat akan bait-bait kata suatu ketika dahulu, "langit itu kelihatan indah dan bersih kerna tiada manusia yang hidup di sana. Suci dari tangan-tangan kotor".

Jujur. Aku rindu. Aku rindu akan tenangnya hati ini. Hidup aku terlalu serabut memikirkan hal-hal dunia yang entah bila mahu habis. Terkadang benci itu hadir dalam diri. Terasa mahu campak segala apa yang ada di depan mata untuk memuaskan rasa. Tapi, aku sedar yang itu takkan membuahkan hasil apa-apa. Hanya sekadar nafsu terlaksana namun ketenangan masih tidak mampu dimiliki.

Jam menunjukkan waktu semakin dekat dengan waktu solat Maghrib. Hati ini terdetik. Sudah lama tidak merasa suasana solat berjemaah, mendengar azan secara terus daripada bilal. Baiklah. Hari ini aku mahu solat sama-sama di sana. Aku lebih selesa memilih untuk pergi berseorangan ke sana. Sekarang aku di fasa itu, mahu menyendiri dan tidak mahu serabut dengan manusia lain. Seketika aja barangkali.

Tiada orang di saf perempuan. Tak mengapa. Mungkin itu yang terbaik untuk aku bersendiri memahami diri yang sudah lama sesat ke ceruk mana. Azan mula berkumandang. Sayup-sayup kedengaran dan semakin jelas di pendengaranku. Allah. Setiap apa yang dilafazkan oleh bilal, menusuk terus ke dalam hati. Aku rindu perasaan ini. Perasaan memahami setiap lafaz itu dan hati mula berdegup kencang. Mata mula berair tetapi aku menahannya. Rindunya aku pada-Mu ya Rabbi.

Iya, aku sedar. Sebenarnya yang hilang daripada diri aku sendiri adalah ketenangan dan kedamaian.  Aku terlalu leka dengan tugas-tugas harianku di tempat ini sehinggakan rohani aku kering kontang tidak diisi. Sedih. Kunci pada semua itu hanya boleh dapat bilamana aku taqarrub, mendekatkan diri aku pada Dia.

Sudah-sudahlah membawa diri jauh daripada Tuhan. Pusing ceruk mana, pergi sejauh mana pun, pada akhirnya kau pasti akan temui, Allah SWT jawapannya. Cuma terkadang diri sendiri yang menidakkan. Tidak mahu terima hakikat hidup, hakikat yang sebenarnya kita hanya perlu Dia untuk menjalani kehidupan yang sangat mencabar ini.

We are not belong in this dunya.

Cuma itulah, perjalanan hendak ke sana itu, kita perlu hadap bermacam-macam ujian. Sabar. Moga tabah. Allah kan ada. Al-Quran dan As-Sunnah jangan lupa ya.

Semoga sama-sama dapat menjadi diri sendiri yang lebih baik daripada sebelumnya. Jangan pernah putus asa daripada rahmat Allah.

Wednesday, June 20, 2018

Move on.

"Aku dah cakap. Benda tu bukan hak milik kekal kita".

Dia menjeling tajam. "Kau tak rasa, memanglah. Aku yang hadap semua ni. Peritnya aku. Kau tahu apa?", jawab Sara.

Maya menghela nafas, perlahan.

"Sara. Kau kena faham. Kita punya kehendak tak sama dengan kehendak Allah. Boleh jadi apa yang kita nak sangat-sangat, tak baik untuk kita dan apa yang kita tak suka tu boleh jadi baik untuk kita. Kita ni hanya bergantung segala harap pada dia. Kena ingat tu", pujuk Maya.

Sara merenung jauh. Mungkin sedikit terkesan dengan kata-kata Maya.

"Maya. Kau tahu kan hubungan aku dengan dia macam mana. Rapatnya kami. Kau tak faham", tutur Sara.

Maya mengusap lembut tangan Sara. Dia mengukir senyum pada Sara.

"Sara. Kau nak tahu. Dulu, aku pun begini. Mengenal seseorang dan pada akhirnya, aku yang sakit. Betul. Tak mudah untuk menerimanya. Jujur aku katakan. Aku yang salah. Terlalu meletakkan pengharapan yang tinggi padanya. Hakikatnya, dia juga cuma hamba. Takde kuasa atas sesuatu."

Sara menunjuk minat untuk mendengat cerita Maya dengan lebih lanjut.

"Habistu, macam mana kau move on?"

"Nak mendidik hati untuk terima semuanya memang perit. Pelan-pelan kayuh. Didik hati yang semuanya milik Allah. Balik semula pada Dia. Betullah. Allah sahaja tempat kita meletakkan seluruh pergantungan. Sebab itu, apa-apa yang kita miliki sekarang, kita perlu bersedia untuk kehilangannya."

"Sara. Sahabat kau pergi mesti ada hikmahnya. Andai tak nampak sekarang, In Shaa Allah, suatu hari nanti kau akan faham dan mengerti apa yang sebenarnya di sebalik semua ni. Terkadang, itulah jawapannya untuk doa-doa yang selalu kita lafazkan. Kau mampu hadap benda ni. Sabar dan solat. Jangan tinggal yang itu", pesan Maya sambil menepuk lembut bahu sahabatnya.

Hargailah setiap apa yang kita miliki. Tapi, jangan lupa yang hakikatnya, semua ini milik Allah. Kadang-kadang sampai suatu saat, perasaan ingin meluahkan itu cukup kuat. Ya. Luah pada Allah itu patut diletakkan di tempat yang teratas sekali berbanding yang lain. Semoga berjaya.