} -->

Thursday, July 17, 2014

A story [1]

Kepala aku dongakkan ke langit yang biru. Indah. Tenang. Teringat kembali akan kata-kata dia suatu ketika dahulu.


“Biar hilang aku tapi jangan hilang Dia.”


Aku senyum sendiri. Kata-kata dia, kadangnya bermakna kadangnya payah nak ditafsirkan ke bahasa kita. Entah. Tapi, aku suka.

Angin yang sedikit kuat menjadikan tudung yang aku pakai lari daripada duduknya. Sebelum aku betulkan kembali tudungku, tangan dia terlebih dahulu membetulkan tudungku yang sudah agak senget dibahagian muka.

“Terima kasih.” Aku pandang dia sambil mengukir senyum.

Dia mengoyak sengih.

“Terima kasih jer? Nak hadiah lah.” Tangannya masih membetulkan tudungku dengan cermat sekali.

“Hadiah? Amboi. Hm awak nak hadiah apa? Cakap jer. Akan ku tunaikan, In Shaa Allah,” kata aku sambil memandang mukanya dengan penuh rasa kasih dan sayang.

Tangannya diletakkan di atas riba. Dia diam. Mukanya dipalingkan menghadap pantai di hadapan. Aku bingung. Mengapa dia hanya diam?

“Awak. Saya tanya ni. Nak hadiah apa?” Aku mengulang kembali soalan yang aku ajukan kepada dia sebentar tadi.

Mukanya masih tidak berkalih daripada menghadap ke pantai sana. Aku dengar dia melepaskan hela nafasnya. Dia memalingkan mukanya kepada aku sambil tangannya memaut mesra tangan aku. Aku membalas kembali pautan dia. Erat. Kemas.

“Awak. Saya cuma nak minta satu hadiah je. Tak banyak. Satu je.” Dia memandang aku dengan matanya yang sudah berkaca-kaca itu.

“Iyer. Apa dia. Cakaplah. In Shaa Allah saya boleh bagi,” ujar aku.

Dia mengusap-ngusap tanganku.

“Saya nak... awak percaya saya. Tu aje. Saya tak minta banyak. Hanya minta percaya awak,” kata dia dengan suaranya yang sudah mula kedengaran sebak.

Aku berdehem.

“Lah. Awak minta percaya saya? Tu je?” Aku bertanya dengan tenang.

“Boleh?”

“Selalu. Sentiasa.”

Dia mengukir senyum. Senyum yang dulunya hilang. Senyum yang dulunya dia lupa bagaimana hendak diukirkan pada mukanya. Senyum yang dulunya penuh tersirat dengan luka yang dah lama disimpan. Aku memaut bahunya sambil mendongak kepala ke langit biru.

“Sebiru hari ini... birunya bagai langit terang benderang... sebiru hari kita, bersama di sini...”

Dia memandang aku. Air mata yang sudah lama bertakung di dalam matanya akhirnya tumpah juga. Air matanya mengalir. Basah pipinya. Aku usap pipinya dengan tanganku.

“Seindah hari ini... indahnya bak permaidani taman Surga... seindah hati kita, walau kita kan berpisah...” Dia menyambung lirik tadi.

Dia menghadapkan mukanya kepada aku dan aku menghadapkan mukaku kepada dia.

“Bukankah hati kita telah lama menyatu... dalam tali kisah persahabatan Ilahi... pegang erat tangan kita terakhir kalinya... hapus air mata meski kita kan berpisah...” Kami berdua menyanyikan lirik bersama-sama sambil air mata membasahi pipi. Angin tenang setenang hati kami.

“Selamat jalan teman... tetaplah berjuang... semoga kita bertemu kembali... kenang masa indah kita, sebiru hari ini...” Dia menghabiskan lagu itu dengan suara yang sudah tenggelam timbul.

Aku memeluknya. Erat. Bagai tidak mahu lepas. Bagai mahu saja aku menghentikan masa yang sedang berjalan tapi itu amat mustahil. Selagi ada waktu, aku mahu diisikan dengan kenangan yang berharga. Perkara yang moganya jadi kenangan bila rindu bertandang dalam hati bila dia tiada di hadapan aku, di samping aku.

“Awak. Ingatnya hanya satu. Biar hilang aku tapi jangan hilang Dia. Hilangnya aku boleh mohon pada Dia tapi hilangnya Dia tak boleh kau mohon pada sesiapa. Kan?” Dia senyum penuh makna.

Aku cuba untuk menghadamkan kata-kata dia. Aku cuba untuk semat dalam ingatan aku. Aku cuba pasakkan dalam diri aku. Aku mengangguk perlahan.

“Iyer. Dengan izin Dia.” Aku menundukkan mukaku sambil bermain dengan jari.

“Sayang. Bahagia itu ada pada Dia. Dia peroleh segala. Bila awak kembali pada Dia, selalu ingat Dia, In Shaa Allah awak akan peroleh bahagia dengan redha serta rahmat Dia.” Dia senyum.

Kepala aku dianggukkan. Aku mengangkat muka. Senyum pada Dia.

“Dekat sana nanti, jaga diri, jaga iman, jaga akhlak, jaga semua, tau. Do’a tu penghubung setiap perkara. Dengan do’a, In Shaa Allah sampai ke hati kita.” Dia angguk.

“In Shaa Allah. Do’a tu tak akan pernah putus selagi ajal tak kunjung tiba, selagi Dia izin, In Shaa Allah,” ujar dia.

Hari semakin petang. Langit yang tadinya biru semakin gelap warnanya. Itu tandanya sudah mahu menginjak senja. Kami berdua bangun daripada duduk. Aku memandang dia.

“Fihifzillah.”

“Fihifzillah aidhon.” Dia senyum.

Badannya aku peluk erat. Bunyi hon kereta mengejutkan kami berdua.

“Kena pergi dah ni.”

“Hm tahu.” Tangannya aku pegang bagai tidak mahu lepas.

“Awak, tangan tu. Nak kena pergi dah ni. Driver dah tunggu tu.” Dia berkata dengan suara yang lembut sekali. Tenang.

“Hm.”

Aku menguraikan tangan aku daripada tangannya. perlahan-lahan. Aduh, beratnya terasa nak melepaskan dia.

“Takpe. Ada rezeki, In Shaa Allah kita jumpa lagi. I have to go now, sayang.” Dia senyum. Manis.

“In Shaa Allah. Ok.” Aku senyum tawar.

Dia menapak ke kereta. Pintu kereta dibukanya dan dia masuk ke dalam kereta. Cermin kereta diturunkan. Dia melambai. Aku melambai kembali dengan air mata yang sudah tidak mampu ditahan lagi. Kereta yang berwarna hitam itu semakin lama semakin jauh daripada pandangan mataku. Makin jauh,makin jauh, makin jauh dan sehingga sudah tidak kelihatan daripada pancainderaku.

“Selamat tinggal, sahabat lillah ilal Jannah.” Aku senyum dengan air mata yang masih mengalir.


p/s : Tiap pertemuan itu ada hikmahnya, ada sebabnya. Allah tak jadikannya dengan sia-sia tetapi untuk kebaikan kita. Pertemuan dan perpisahan itu moganya hanya kerana Allah, In Shaa Allah. Moga Allah redha, Moga Allah berkati, Moga hingga Jannah, ukhuwwah yang telah terjalin ini, In Shaa Allah.

No comments:

Post a Comment

Mind your words. Thank you.